Merdekakan Pemikiran Politik Anda

Ramai orang bercakap tentang politik atau pemikiran politik. Namun masih ramai yang melihat sesuatu pendapat atau idea dalam politik itu dari kacamata kepartian, bukan penilaian matang terhadap kebernasan hujah. Maka disokong sesuatu pandangan politik disebabkan pandangan itu ‘diterbitkan’ oleh partinya, bukan kerana hujah dan alasan yang diberikan. Dia akan bertungkus lumus mempertahankan sesuatu pandangan atau tindakan walaupun jiwanya yakin itu kurang tepat atau salah, hanya semata kerana partinya.

Paling kurang dia akan diam. Namun jika idea itu terbitan musuh, dia akan bersama partinya menyerang idea tersebut sekalipun dia belum faham, atau sekalipun dia tidak tahu pun keburukannya. Jika musuh partinya mengemukakan idea yang baik, dia akan diam tanpa ulasan. Jika partinya mengemukakan idea, dia akan puji dan berikan sokongan walaupun belum cukup faham. Inilah politik taksub. Inilah politik taklid buta. Inilah fanatik kepartian yang membunuh politik kebernasan idea.

Politik Memecah Belah Kita

Ya, sepanjang sejarah pun isu-isu politik jugalah yang telah memecah belahkan umat Islam. Lahirnya Syi’ah, Khawarij dan berbagai kelompok yang lain hasil dari ketegangan politik yang bermula pada zaman Pemerintah Saiyyidina Uthman bin ‘Affan r.a, berkembang biak pada zaman Saiyyidina ‘Ali bin ‘Abi Talib dan berlangsungan sehingga hari ini.

Hingga, kita terus mewarisi bahana isu-isu politik yang tercetus pada seribu empat ratus tahun lebih yang lalu. Ketegangan Syiah-Sunni yang kedengaran di negara-negara seperti Iraq, Iran, Pakistan, India dan lain-lain adalah hasil dari isu-isu lama politik yang dibentuk menjadi dogma agama dan diwarisi secara fanatik. Bermula dari isu tidak puas hati dengan beberapa tindakan politik bertukar menjadi isu akidah. Semua kerana ketaksuban dan kebencian yang berlebihan.

Ketaksuban kepada Saiyyidina ‘Ali bin Abi Talib r.a telah melahirkan aliran Syi’ah yang mengagungkannya melebihi batasan yang patut. Perbuatan yang tidak pernah diredhai oleh ‘Ali itu sendiri. Dalam proses membela ‘Ali, lahirlah berbagai hadis palsu yang direka demi menaikkan aliran ‘politik kepuakan’. Kata seorang tokoh silam Syarik bin ‘Abd Allah (meninggal 177H): “Aku mengambil ilmu daripada setiap yang aku temui, kecuali rafidah (syi’ah fanatik). Ini kerana mereka memalsukan hadis dan menganggapnya (hadis-hadis palsu tersebut) sebagai agama”. (Ibn Taimiyyah, Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah, 1/13, Beirut: al-Maktabah al-‘Ilmiyyah).

Apabila isu-isu politik dibentuk menjadi isu akidah dengan mengada-ada nas agama, maka itu mencetus reka bentuk agama yang tersendiri. Para pengikut yang jahil yang dimangsakan mula menganggap perjuangan politik kepuakan itu sebagai ‘titah agama’ lantas mereka berjihad kerananya. Maka tumpah darahlah kaum muslimin di sana sini. Sedangkan ‘Ali pada zamannya cuba mengatasi hal ini. Apabila beliau ditanya mengenai mereka yang menentang beliau dalam Peperangan Jamal dan Siffin; Apakah mereka itu Musyrikin?” Jawab ‘Ali: “Tidak, mereka itu melarikan diri daripada syirik.” Ditanya lagi: “Apakah mereka itu Munafiqin?” Jawab ‘Ali: “Tidak, sesungguhnya golongan Munafiqin tidak mengingati Allah kecuali sedikit.” Ditanya lagi: “Apakah kedudukan mereka yang sebenarnya?” Jawab ‘Ali: “Saudara kita yang melampau (bughah) terhadap kita” (Al-Baihaqi di dalam Sunannya. Ibn Abi Syaybah dalam musannafnya dan al-Marwazi dalam Ta’dzim Qadr al-Salah). Namun apabila ketaksuban sudah tidak dapat dikawal, golongan Syiah menghukum musuh-musuh ‘Ali apa yang tidak dihukum oleh ‘Ali itu sendiri.

Demikian juga kebencian tanpa kawalan. Kebencian kepada penentang ‘Ali, telah melahirkan puak Khawarij yang tidak puas hati dengan langkah perdamaian yang dipersetujui oleh ‘Ali. Lalu api kebencian itu merebak dalam jiwa sehingga membentuk dasar akidah yang membawa mereka mengkafirkan bukan sahaja penentang ‘Ali, bahkan ‘Ali itu sendiri. Lahirnya dogma mengkafirkan orang lain atas dosa yang dilakukan, atau atas tafsiran dosa yang diandaikan. Kelompok Khawarij terkenal dengan kuat ibadat dan tidak melakukan dosa. Malangnya, dogma agama yang dipegang mereka, telah menyebabkan mereka mengkafirkan sesiapa yang tidak bersama mereka, bahkan menumpahkan darah orang ramai yang tidak menyokong pegangan mereka.

Jangan Ulangi Sejarah Suram

Apa yang ingin saya sebutkan di sini, kita tidak ingin mengulangi sejarah silam. Politik ketaksuban dan kepuakan hanya akan mengundang perbalahan yang tidak berkesudahan. Politik sepatutnya dibina atas hujah dan idea, bukan taksub dan sokongan secara membabi buta. Di negara kita, politik idea ini belum kuat berkembang atau belum menguasai keadaan.

Kita dalam politik sering membahagikan manusia berdasarkan parti, bukan berdasarkan pendekatan dan kefahaman. Ini telah lama bertapak dalam pendekatan kita. Jika ada yang mengkritik kerajaan dia dituduh penyokong pembangkang dan mungkin juga diambil tindakan. Jika ada yang mengkritik pembangkang, dia dituduh pro atau pengampu kerajaan, dan mungkin juga akan dimaki, atau dicerca.

Hal ini menyebabkan pemikiran dan idea yang baik tidak dapat disalurkan disebabkan perbalahan politik. Jika kita bersetuju dengan beberapa idea yang baik pembangkang, atau kerajaan maka kita akan menjadi mangsa salah satu dari pihak berkenaan. Idea dan pemikiran yang baik menjadi mangsa ‘kehasadan’ politik.

Ia bercanggah dengan apa yang Allah tegaskan dalam al-Quran dalam Surah al-Maidah, ayat 8: (maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menjadi saksi yang saksama; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana keadilan itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”.


Ulul Albab

Keadaan ini disebabkan banyak faktor, antaranya kita belum cukup melahirkan tokoh-tokoh pemikir yang mantap, yang berjiwa merdeka tanpa terikat dengan kepentingan diri serta tidak bertaklid buta. Kita perlu membanyakkan kelompok manusia terpelajar yang pemikiran dan penilaian mereka merentasi garisan dan sempadan politik kepartian.

Bahkan kita mahu banyakkan kelompok yang mampu mencetuskan idea yang baik dalam politik di luar dari kotak kepartian. Golongan ‘Ulul Albab’ merupakan kelompok manusia yang dipuji oleh Allah dalam al-Quran. Mereka merupakan kelompok yang memiliki kematangan akal dan penilaian sehingga mereka digelar Ulul Albab dengan maksud empunya pemikiran dan kefahaman yang matang dan mantap.

Allah sebut antara ciri mereka: (maksudnya) (maksudnya) “..oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu . (Iaitu) mereka yang berusaha mendengar perkataan (yang sampaikan) lalu mereka menurut yang terbaik; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah Ulul Albab” (al-Zumar: 17-18).

Kelompok pemikir yang merdeka dan berhujah ini perlu menyemarak politik idea, bukan politik taksub kepartian. Bukan politik yang bermula dengan bertanya ‘engkau sokong PAS ke, atau UMNO ke, atau PKR ke?. Bukan cetusan politik berdasarkan kehendak ramai. Sebaliknya, pemikiran yang berlandaskan analisa, fakta dan hujah. Seseorang tidak dinamakan tokoh ilmuwan yang matang selagi mana dia di bawah ketulunjuk kepartian tanpa penilaian. Biar sekalipun orang menamakan dia ‘ulamak’ atau ‘professional’. Allah menyebut: (maksudnya) Katakanlah (Wahai Muhammad): “Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun jumlah banyaknya yang buruk itu telah mengkagumkan engkau. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai Ulul Albab supaya kamu berjaya (Surah al-Maidah: 100).

Politik Merdeka

Kita mesti berusaha memerdekakan jiwa rakyat dari belunggu kepartian. Dalam negara yang memakai sistem seperti kita, parti politik itu mungkin penting. Namun ia bukan matlamat, ia hanya alat yang boleh diganti tukar jika perlu. Hubungan dan penilaian kita ke atas pihak lain, janganlah berdasarkan parti atau mazhabnya.

Sebaliknya, hendaklah berdasarkan akhlak dan pemikiran. Kelompok fanatik parti sering melenting jika melihat seseorang tokoh duduk atau berkawan dengan musuh parti mereka. Lalu kadang-kala seseorang dimusuhi tanpa sebab yang jelas. Mereka selalu melenting jika ada orang yang berbeza pendapat dengan parti mereka. Sering mereka menghukum pengkritik mereka bersekongkol dengan musuh politik mereka. Mereka enggan mengiktiraf pemikiran atau idea yang baik hanya disebabkan perbezaan parti. Parti kadang-kala bagaikan agama bagi mereka. Bahkan mungkin lebih daripada agama sehingga mereka sanggup berkasih-sayang dengan yang berbeza agama, tetapi tidak dengan yang berbeza parti.

Sedangkan Allah menyebut: (maksudnya):“Jangan kamu kurangkan manusia apa yang menjadi hak-hak mereka (Surah Hud: 85)

.
Selagi kita tidak merdekakan pemikiran politik kita sehingga tidak terikat dalam setiap penilaian dengan warna parti, maka bererti kegagalan melaksanakan perintah Allah dalam ayat-ayat yang disebutkan tadi dan juga ayat 36 dalam Surah al-Isra :

(maksudnya): “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya”.

Tokoh-tokoh ilmuwan yang kritis dalam sejarah, berjaya membebaskan diri mereka dari taksub kemazhaban dalam menilai sesuatu perkara.

Contohnya, Al-Imam al-Zahabi (meninggal 748H) ketika mengulas status riwayat mereka yang terpengaruh dengan unsur-unsur tasyaiyu’ (kesyiahan), katanya: “Sesungguhnya bid‘ah ada dua bahagian; (pertama) bid‘ah kecil; seperti berlebihan dalam tasyaiyu’ (mengutamakan ‘Ali) , atau bertasyaiyu’ tanpa melampau dan menyimpang. Hal ini banyak berlaku kalangan tabi‘iin dan atba’ al-tabi‘iin (pengikut tabi’iin). Di samping mereka juga kuat beragama, warak dan benar. Jika ditolak riwayat mereka (disebabkan hal ini), nescaya akan hilanglah sejumlah besar hadis-hadis nabawi. Ini satu kerosakan yang nyata.” (Al-Zahabi, Mizan al-I’itidal fi Naqd al-Rijal, 1/118, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah). Inilah sikap adil yang tidak menghukum manusia hanya disebabkan perbezaan mazhab akidah. Bagaimana mungkin untuk kita menolak sesuatu pendapat atau idea hanya disebabkan perbezaan politik.

Selagi kita tidak dapat membebaskan atau memerdekakan minda dari kongkongan ketaksuban parti politik, atau hanya mampu berfikir dengan kadar jarak rantai politik kepartian yang dibelunggu di kaki kita, bererti cara fikir kita masih tidak Quranik atau Islamik sekalipun kita memakai logo atau pakaian yang dikaitkan dengan Islam.

0 Response to

Post a Comment