Tahniah Kerajaan Malaysia - Kematian akibat H1N1 Kita di Tangga ke 9 Dunia Skrg ni

W
abak Influenza A (H1N1) atau selesema babi semakin mengganas di negara ini apabila tiga lagi kematian dicatatkan sehingga jam 9 pagi tadi.

Peningkatan kes itu menjadikan jumlah kematian keseluruhan seramai 54 orang dengan 2,253 kes positif seperti yang dilaporkan Kementerian Kesihatan, sekali gus meletakkan kematian akibat H1N1 kita di tangga kesembilan dunia.

Dengan kematian 54 orang ini, negara kita berada pada kedudukan kesembilan dalam kalangan negara-negara dunia yang mencatatkan kes kematian akibat H1N1.

Tiga negara dunia yang tertinggi jumlah kematian adalah Amerika Syarikat dengan 436 orang, Argentina 386 orang dan Brazil dengan 274 orang. Hanya satu negara Asia yang di atas kita iaitu Thailand di kedudukan ketujuh dengan 97 kematian.:

Lebih membimbangkan, jumlah kematian H1N1 di negara kita jauh lebih banyak berbanding negara-negara yang mempunyai populasi penduduk yang lebih tinggi umpamanya seperti China, India, Indonesia dan United Kingdom.

Mengikut statistik yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sehingga semalam, jumlah kes positif seluruh dunia mencatatkan 226,618 orang dengan 2,047 kematian.

Dalam statistik itu juga jelas menunjukkan jangkitan positif H1N1 negara lain jauh lebih tinggi, tetapi mencatatkan kematian yang rendah seperti Hong Kong dengan 6,210 kes, hanya 4 kematian; Filipina 3,207 kes (9 kematian) dan Jepun 5,022 kes, tiada kematian.

Mengulas perkembangan itu, Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw berkata, kerajaan seharusnya mengambil langkah pencegahan yang lebih drastik umpamanya mengawal dengan lebih ketat kemasukan orang asing ke dalam negara.

Beliau turut menggesa supaya kakitangan perubatan ditambah bagi menangani wabak yang semakin menular ini kerana banyak laporan mengatakan orang awam terpaksa menunggu giliran terlalu lama.

“Kita sebagai rakyat Malaysia mestilah mengikuti langkah pencegahan yang ditetapkan dan mengamalkan persekitaran dan gaya hidup yang bersih.

“Selain itu, majlis awam dan tempat orang ramai berkumpul haruslah dielakkan untuk menghindari penyakit ini,” katanya, semalam.

Ditanya sama ada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir perlu ditangguhkan akibat wabak H1N1, Seng Giaw menyerahkan keputusan itu sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

0 Response to

Post a Comment