Jenazah Allahyarham Ismail Md Salleh Slamat Dkebumikan


Jenazah Allahyarham Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan di sini kira-kira 10.30 malam, lapor Bernama.

Sebelum itu janazah beliau disembahyangkan di rumah keluarganya di Jalan Melati 2, Sungai Kantan, Fasa 2.

Allahyarham meninggal akibat serangan jantung semasa dalam penerbangan dari China ke Singapura dan disahkan meninggal dunia di Hospital Besar Singapurakira-kira 8 pagi ini.

Beliau berada di Beijing untuk lawatan kerja selama dua hari.

Jenazah Allahyarham tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Subang dari Lapangan Terbang Senai, Johor kira-kira 7.30 malam.

Beliau meninggalkan isteri Datin Hasnah Wahab dan enam orang anak berumur antara 12 dan 26 tahun.




Ismail: Perginya Seorang Ikon Istimewa

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Senator Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh yang meninggal dunia Khamis adalah seorang manusia istimewa.

Allahyarham membuktikan bahawa cacat penglihatan bukan penghalang untuk berjaya serta menyumbang kepada bangsa dan negara.

Pemergian beliau bermakna negara kehilangan seorang ilmuan, seorang tokoh akademik, pakar ekonomi, tokoh pemikir dan tokoh Maulidur Rasul.

Ismail, 61, meninggal dunia akibat serangan jantung semasa dalam penerbangan dari China ke Singapura dan disahkan meninggal dunia di Hospital Besar Singapura kira-kira 8 pagi ini. Allahyarham meninggalkan seorang isteri Datin Hasnah Wahab serta enam anak.

Semasa hayatnya, Allahyarham gigih memperjuangkan nasib golongan orang kurang upaya (OKU) sehingga melakar sejarah sebagai anggota Dewan Negara pertama dilantik daripada golongan itu di negara ini pada Disember 2007.

Allahyarham hilang deria penglihatan sepenuhnya sejak berusia 13 tahun, namun ia bukan halangan untuk beliau mendapatkan Sarjana Muda Ekonomi dan Sains Politik dari Universiti New York pada 1973 sebelum menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dan doktor falsafah (PhD) dalam bidang ekonomi di Universiti Illinois, Amerika Syarikat pada 1974 dan 1977.

Memulakan kerjaya pertama sebagai pensyarah ekonomi di Jabatan Penganalisis Ekonomi dan Dasar Awam di Fakulti Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejurus menamatkan pengajian, Allahyarham kemudiannya dilantik sebagai Ketua Jabatan pada 1981.

Allahyarham yang dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan pada 2 Sept 1947 turut memegang pelbagai jawatan sepanjang hayatnya dalam bidang akademik termasuklah sebagai Naib Canselor Universiti Kolej Antarabangsa Teknologi Twintech (IUCTT) dan Presiden Persatuan Kebangsaan Kolej Swasta Bumiputera.

Dalam bidang ekonomi pula, beliau memegang pelbagai jawatan termasuklah sebagai Timbalan Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik Antarabangsa (ISIS), Timbalan Pengarah Eksekutif Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Ekonomi, Pusat Perniagaan Malaysia serta Ahli Majlis Perunding Ekonomi Negara II (MAPEN II) - Jawatankuasa Kerja bagi Penyusunan Semula Masyarakat.

Allahyarham aktif membantu golongan senasib dengannya apabila aktif sebagai Presiden Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) pada 2007 dan pernah dilantik sebagai Pengerusi, Majlis Antarabangsa Asia Tenggara bagi Pendidikan Untuk Orang Cacat Penglihatan pada 1999.

Kerana itu Allahyarham sentiasa memperjuangkan peningkatan akses terhadap infrastruktur OKU di negara ini yang pada pendapatnya masih jauh ketinggalan berbanding negara maju.

Juga pernah diberi penghormatan sebagai Ketua Kontinjen negara semasa Sukan Timur Jauh dan Pasifik Selatan untuk Orang Kurang Upaya (Fespic) yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 2006.

Pada 2001, Allahyarham dianugerahkan doktor kesusasteraan Universiti Antarabangsa Irish oleh Kesatuan Eropah bagi mengiktiraf sumbangan beliau kepada negara ini dan juga komuniti antarabangsa.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hassan Tantawi dalam satu kenyataan berkata Allahyarham merupakan seorang ikon yang berjaya walaupun dirinya kekurangan.


Al-fatihah

0 Response to Jenazah Allahyarham Ismail Md Salleh Slamat Dkebumikan

Post a Comment