PKR akan Hancur JIKA......


Sejak berlaku kes DAP keluar dari kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah (yang telah pun selesai dan kembali tenang), sebelum itu kes pemecatan ahli majlis PKR di Pulau Pinang dan isu Kg Buah Pala, ramai menjangkakan ketenangan yang Pakatan Rakyat raih selepas PRU ke 12 dahulu kini bertukar kacau. Tambah di Selangor pun EXCO DAP bertelagah dengan ADUN PKR secara terbuka.

Apakah ini tanda-tanda Pakatan Rakyat menuju kehancuran?

Memang pihak musuh politik PR terus sahaja menalakan senjata ke arah PR. Mulanya kerajaan Kedah dikatakan akan jatuh (macam Perak), Pulau Pinang pula retak dan kini Selangor pula dikatakan menuju ke arah perpecahan.

Ini semua mencetuskan kebimbangan dikalangan para penyokong dan rakyat jelata yang telah memberikan sokongan dan undi kepada PAS, PKR dan DAP dalam PRU lalu. Malah kejadian di Perak dijadikan cermin betapa kerajaan negeri PR mudah sahaja jatuh jika masalah berlarutan.

Memanglah BN girang apabila musuh politiknya sakit begitu juga PR terhadap BN. Tetapi solanya apakah kesan ini mampu merobohkan sebhuah kerajaan negeri?

Di Kedah momokkan dan serangan BN dan konco-konconya ternyata tidak berkesan. Akhirnya semangat tolak-ansur yang mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri terserlah, lalu biduk lalu kiambang bertaut, kerajaan Kedah pimpinan Ustaz Datuk Seri Azizan Abd Razak kekal bertahan sekaligus menyejukkan hati rakyat.

Apa lagi di Pulau Pinang yang mana pegangan PR begitu kukuh, saya tidak yakin masalah kecil yang berlaku di sana mampu membawa kepada rebahnya sebuah kerajaan negeri sebagaimana yang diimpikan oleh para Mat Jenin BN.

Begitulah juga halnya di Selangor.

Sesungguhnya apa yang berlaku adalah ujian yang menguji kematangan PR samada dari PAS, DAP atau PKR untuk mengurus perselisihan tanpa menjejaskan semangat setiakawan yang membina kerajaan negeri masing-masing. Kerajaan PR ini masih muda, sudahpastilah ia tidak sunyi dari berbagai masalah, apa pun setakat ini kematangan berfikir dan pandangan jauh pimpinannya dapat menyelamatkan keadaan.

Malah dilihat dari satu aspek, setiap komponan PR berhak menyuarakan pandangan dan menyatakan isi hati masing-masing tanpa perlu rasa takut atau tertekan. Pandangan diambil kira dan dibincangkan secara bertamadun. Akhirnya keputusan yang terbaik buat semua diambil.

Kerana itu penting bagi semua pihak untuk matang dan menerima realiti yang ada. Sensitiviti semua pihak perlu dipelihara, sejarah dan latarbelakang serta adat dan budaya masing-masing diiktiraf. Jangan mengguris atau melukakan hati kawan-kawan.

Tidak bijak contohnya kita pertikaikan pakaian kebangsaan yang telah diterima oleh datuk nenek kita sejak lebih separuh abad. Jika kita tidak bersetuju, tidak perlulah kita mencabar dan mengugut sesiapa.

Kawan-kawan berbangsa Tionghua dan India yang bukan Islam menerima bahawa corong-corong masjid dan surau mengalunkan suara azan lima kali sehari pada waktu-waktunya sebagaimana kawan-kawan Melayu dan bangsa lain yang beragama Islam menerima bahawa makanan yang diharamkan pada mereka tidak diharamkan terhadap kawan-kawan mereka yang bukan Islam.

Lantas jika kita lalu contohnya di Jalan Petaling dimana daging khinzir ditayangkan di hadapan kedai serta daging-daging khinzir disalai di kaki-kaki lima, kita terima dan tidaklah marah sehingga mahu bertindak terhadap mereka.

Begitu juga semasa perayaan Thaipusam, kawan-kawan bergama Hindu yang kebanyakkannya dari keturunan India perlu mengarak berhala-berhala mereka ke tengah jalan dari satu kuil ke satu kuil, kita semua terima walaupun jalan terpaksa di tutup dan kadangkala sesak.

Demikian juga walaupun bahasa ibunda rantau ini adalah bahasa Melayu, kita terima bahawa kawan-kawan kita dari keturunan Cina dan India mewarisi bahasa ibunda yang lain, lalu kita terima penggunaan dan pengajarannya malah siaran radio dan TV yang memuatkan rancangan-rancangannya.

Malah budaya hormat-menghormati ini kini semakin sebati dalam kehidupan kita. Sehinggakan kita perhati kawan-kawan bukan Islam begitu prihatin dalam majlis-majlis perayaan agar hanya makanan halal dihidang apabila kawan-kawan yang beragama Islam diundang. Begitu juga kawan-kawan bergama Islam mengambil prihatin agar daging lembu tidak dihidangkan kepada kawan-kawan Hindu yang bertandang ke rumah mereka.

Memang masih ada segelintir yang tidak dapat menerima, yang nakal dan mahu menguji-uji, kepada mereka ini kita nasihatkan agar tidak meleraikan ikatan persahabatan dan persuadaraan yang sedia terjalin sehingga mencetuskan ketegangan yang hanya akan merugikan semua pihak.

Pakatan Rakyat perlu muncul sebagai juara dalam hal ini jika ia mahu terus dihormati dan dipandang tinggi oleh rakyat berbagai bangsa. Dalam hal ini saya terpaksa bersetuju dengan Perdana Menteri bahawa apa yang perlu bukannya toleransi tetapi penerimaan ataupun “acceptance”. Saya yakin hanya PR yang boleh menyerlahkan hal ini dan bukannya BN. Terus kekalkan apa yang kita miliki jangan sampai terburai dan tergadai.

0 Response to PKR akan Hancur JIKA......

Post a Comment