Ketuanan Melayu Sudah Layak Di Bakul Sampah-kan


Sejak kecil aku mendengar ungkapan “Ketuanan Melayu” ini. Dari mula belajar membaca sehinggalah hari ini “Ketuanan Melayu” tidak habis-habis di”dendang”kan.

Dulu masa sekolah menengah terpengaruh juga dengan dengan propaganda jahat ni. Tertanam juga kebencian kepada bangsa lain walaupun tak tahu apa sebab.

Lama kelamaan kebencian yang tak bersebab itu hilang kerana aku mempunyai kawan-kawan rapat dari bangsa Cina dan India.

Waktu Tahun Baru Cina aku dijemput untuk bertandang kerumah temanku yang berbangsa Cina manakala apabila Deepavali tiba, tidak ketinggalan untuk kejemput kerumah kawan-kawan India.

Sejarah adalah subjek yang paling aku minati walaupun ramai kawan-kawan yang merasakan subjek Sejarah itu membosankan kerana perlu menghafal banyak fakta, kejadian dan tarikh. Tapi itu tidak menjadi masalah padaku oleh kerana minat yang mendalam.

Apabila belajar Sejarah Malaysia, kita tidak dapat lari dari senjarah penjajahan di tanah ini.

Kita turut diajar bagaimana Strategi British untuk menjajah tanah ini dengan begitu lama. “Politik Pecah dan Perintah” adalah senjata British yang paling kuat untuk terus merompak hasil kekayaan negara kita.

Apabila kita bandingkan apa yang dilakukan oleh British dan kerajaan yang dipimpin oleh Barisan Nasional, kita tidak akan nampak bezanya.

Kedua-duanya menggunakan taktik memecah belahkan rakyat mengikut bangsa dan agama untuk terus berkuasa. Sebab itulah Barisan Nasional yang dahulunya dikenali sebagai Perikatan dapat memerintah Malaysia sehingga hari ini.

Lihatlah apa yang berlaku di negara kita selepas pilihanraya 8 Mac 2008. Slogan “Ketuanan Melayu” kembali didendangkan. Kata mereka (baca: Umn0) Melayu telah kehilangan kuasa.

Propaganda demi propaganda didendangkan kepada rakyat terutamanya bagi orang-orang Melayu di kawasan pendalaman bahawa kononnya Melayu telah hilang kuasa.

Tang mana Melayu hilang kuasa?

Aku nampak ramai Ahli-ahli parlimen Melayu tidak kira dari Barisan mahupun Pakatan. Aku lihat menteri-menteri dan menteri-menteri besar masih lagi majoritinya Melayu. Jadi apa masalahnya?

Masalah sebenarnya ialah kuasa yang ada pada Umno semakin kurang. Apabila kurang kuasa maka kuranglah harta dan kekayaan negara yang dapat dipunggah. Itulah yang sebenarnya mereka marah sangat.

Jadi orang-orang Melayu tak payahlah layan propaganda-propaganda ketuanan Melayu ni.

Cuba baca analisa Dr. Azly Rahman disini. Dia ni seorang anak Melayu yang geli-geleman dengan slogan “ketuanan Melayu” ni macam akulah jugak. Dahulu tulisan-tulisannya hanyalah dalam Bahasa Inggeris, tetapi kini, Center for Policy Initiatives telah mula menterjemahkan karya-karta Dr. Azly dalam bahasa kebangsaan. Syabas! Ini usaha murni. Biar ilmu-ilmu ini dapat di”demokrasi”kan kepada masyarakat umum.

Kita sering disuruh dan digalakkan menyokong perjuangan Palestin untuk melawan Zionis Israel sedangkan perangai Umno/BN tidak ubah seperti Zionis Israel! Apa yang diperjuangkan oleh Umno tidak ada bezanya dengan apa yang diperjuangkan oleh Zionis Israel. Jika Zionis Israel memperjuangkan “ketuanan Yahudi”, Umno pula memperjuangkan “ketuanan Melayu”.

Tetapi aku bersyukur kerana ramai orang-orang Melayu telah faham dan sedar tentang perkara ini.Ramai yang dah semakin celik.

Yang tinggal menyokong idea “Facist” ini cuma minoriti dari Umno yang majoritinya telah tergolong dalam “warga emas”. Golongan emas yang menyokong idea “ketuanan Melayu” ini tidak lama lagi akan berkurangan dan diharapkan Malaysia akan menjadi lebih aman damai dan idea “ketuanan Melayu” ini dapat di”bakulsampah”kan!

0 Response to Ketuanan Melayu Sudah Layak Di Bakul Sampah-kan

Post a Comment