Mampukah PKR Membela Nasib Warga Felda?

Hampir 1 juta pengundi-pengundi di Malaysia adalah terdiri daripada mereka yang terlibat dengan rancangan Felda samada sebagai peneroka atau ahli keluarga peneroka atau generasi kedua dan ketiga peneroka serta pekerja-pekerja di Felda Plantation.
Golongan terbesar mereka itu adalah di Pahang, Negeri Sembilan dan Johor. Menyelesaikan masalah peneroka Felda bererti menyelesaikan masalah 1 juta pengundi-pengundi. Peneroka-peneroka Felda dicengkam dengan hutang yang tidak ada hujungnya. Apabila mereka menyertai rancangan Felda mereka sudah dibebankan dengan hutang yang mengambil masa 25 tahun untuk diselesaikan.
Didalam tempoh itu pula mereka dikenakan potongan daripada pendapatan mereka sehingga kepada 30 items yang sangat memberatkan penghidupan mereka. Setelah mereka selesai menjelaskan hutang mereka, mereka perlu pula untuk menanam semula (samada getah, sawit atau koko) dan mereka dikenakan dengan hutang baru yang mengambil masa 25 tahun lagi untuk penyelesaiannya dan sesetengah dari mereka membawa hutang hinggalah ke saat mereka meninggal dunia.
Yang tidak mahu lagi dibebankan dengan hutang berusaha menanam sendiri tanpa hutang baru dari Felda. Mereka ini dipinggirkan oleh Felda sehinggakan mereka tidak dibenarkan membeli anak-anak benih sawit dari Felda dan dihalang samasekali dari membeli baja
dari Felda. Mereka ini terdiri daripada peneroka-peneroka yang cekal dan kejayaan mereka itu dapat disaksikan dengan pendapatan yang jauh lebih tinggi daripada peneroka-peneroka yang menanam semula melalui Felda.

Bagaimanapun, Felda tidak mahu melepaskan golongan yang menanam sendiri ini begitu sahaja, dan sejak 2009 Felda mengenakan potongan kepada pendapatan peneroka-peneroka ini sehingga 40% dari setiap penghantaran. Tetapi oleh kerana peneroka-peneroka membuat bantahan secara menyeluruh maka potongan itu dikurangkan hingga 20%. Terdapat juga potongan itu dikurangkan hingga hanya RM50.00 setiap kali pemnghantaran tetapi sejak Julai 2009, Felda mengambil pendekatan baru dengan membuat potongan sehingga 20%. Tidak cukup dengan membuat potongan, berlaku pula tuntutan hutang keatas mereka yang menanam sendiri yang langsung tidak menggunakan sebarang pembiayaan dari Felda seperti yang berlaku di gugusan Felda Trolak. Berlaku juga didalam Penyata Hutang bahawa Felda telah memasukkan kos yang tidak pernah berlaku seumpama kononnya Felda menanamkan kekacang semasa berlaku tanaman semula seperti dituntut kepada peneroka-peneroka Felda Jengka 9 walhal Felda tidak pernah melakukan tanaman tersebut.


Masalah yang dihadapi oleh Peneroka Felda serta Generasi Kedua dan Ketiga adalah masalah yang besar dan sehingga kini tidak ada polisi yang dinamik yang diutarakan oleh Felda bagi mengatasi masalah ini. Sedangkan masalah-masalah sosial yang lain adalah dianggap kritikal seperti masalah dadah, rempit, sosial, anak luar nikah dan sebagainya.Parti Keadilan Rakyat mesti tampil dengan polisi yang segar untuk mengatasi masalah yang dihadapi peneroka Felda serta Generasi-Generasi mereka untuk dapat diterima oleh peneroka-peneroka Felda. Jadikan perjuangan pembelaan terhadap peneroka-peneroka Felda ini sebagai suatu perjuangan barisan hadapan, dan ujudkan satu dasar yang dapat mengatasi masalah yang dihadapi oleh mereka.

Dasar yang dilaksanakan ini akan akhirnya merugikan peneroka-peneroka Felda apatah lagi terhadap generasi kedua dan ketiga yang semakin hari semakin terhimpit kehidupan mereka. Adalah dicadangkan agar Parti Keadilan Rakyat mengujudkan satu Majlis Khas bagi mengkaji secara menyeluruh masalah-masalah yang dihadapi oleh Peneroka-Peneroka Felda dan Generasi Kedua dan Ketiga dan mengujudkan satu dasar Nasional bagi mengatasi masalah-masalah tersebut. Semoga dilaksanakan!

0 Response to Mampukah PKR Membela Nasib Warga Felda?
Post a Comment