" Saya Insaf " Minta Percepatkan Hukuman
IPOH: “Saya akan terima hukuman di dunia. Hukuman di akhirat kelak biar Allah s.w.t yang menentukannya. Saya menghormati keputusan mahkamah dan mengaku itu kesalahan saya, bukannya kesalahan ibu bapa, keluarga saya atau orang lain.
“Justeru, saya memohon mahkamah mempercepatkan hukuman sebatan itu memandangkan mahkamah belum memberitahu bila hukuman ini akan dijalankan,” kata model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, yang dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan.
Dia yang dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah meminum arak, memohon supaya mahkamah mempercepatkan hukuman sebatan supaya dia boleh menumpukan masa depan bersama keluarganya.
“Saya anggap ini ketentuan Allah dan balasan kepada saya kerana memandang ringan soal agama. Sekiranya kejadian ini tidak berlaku mungkin saya masih lagi ‘hanyut’ dalam keseronokan dunia.
“Namun, saya bersyukur keluarga saya tetap menerima saya walaupun sudah menconteng arang dan memalit lumpur ke muka mereka,” katanya sambil menitiskan air mata pada sidang media di sini, semalam.
Kartika menasihatkan kepada kepada golongan muda supaya tidak melakukan perkara yang boleh membawa aib kepada diri dan juga keluarga.
“Apa yang boleh saya katakan, sebelum melakukan sesuatu, perasaan keluarga terutama ibu bapa perlu diambil kira agar maruah mereka tidak tercalar,” katanya.
Beliau yang berasal dari Sungai Siput, dekat Kuala Kangsar, menetap 15 tahun di Singapura sejak berkahwin dengan warga negara republik itu dan mempunyai dua anak berusia tujuh dan lima tahun.
Sementara itu, bapa Kartika, Shukarnor Mutalib, 60, berkata hukuman dikenakan terhadap anaknya itu tepat dan wajar kerana berlandaskan undang-undang Islam.
“Memang tidak dapat dinafikan saya terkejut dan kecewa apabila mengetahui berita itu kerana sejak kecil saya didik dia dengan ilmu agama yang cukup tetapi saya sedar bahawa dia hanya insan biasa dan kadangkala tergelincir daripada landasan.
“Saya terus ke Singapura untuk mendengar sendiri penjelasan daripadanya,” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, keluarganya tetap akan menyokong anak keempat daripada sembilan beradik itu dan bersyukur kerana Kartika sudah insaf dan mengakui kesilapannya.
“Selepas hukuman sebatan itu dilakukan, saya merancang untuk menghantar dia ke Makkah untuk mengerjakan umrah bagi menebus kembali kesilapannya,” katanya.
0 Response to " Saya Insaf " Minta Percepatkan Hukuman
Post a Comment