Felda - Dulu Tolong Kini Lebih Dasyat Dari Ah Long
Jikalaulah Tun Haji Abdul Razak Hussain masih hidup sebagai seorang Perdana Menteri yang sudah bersara, sudah tentulah beliau akan melelehkan air matanya kerana apa yang beliau impikan untuk peneroka-peneroka Felda tidak kecapaian.
Tujuan LKTP ditubuhkan pada tahun 1956 (setahun sebelum Merdeka) adalah untuk membasmi kemiskinan di luar bandar.
Dengan tanah kampong setengah ekar dan tanah ladang 10 ekar, setiap peneroka Felda sudah boleh menjadi petani modern yang bebas dari belenggu kemiskinan dan mereka sudah tentu boleh menjadi petani yang berjaya dan berdikari.
Memang hidup sebagai peneroka Felda mempunyai naik turunnya dan peneroka-peneroka awalan menghadapi cabaran yang sangat besar apabila disuatu ketika dahulu mereka hanya boleh membawa pulang pendapatan tidak melebihi RM30.00 sebulan dan sesetengahnya terpaksa menanggung pendapatan -RM0.00 pada hari "balance".
Keadaan itu sudah berubah. Harga sawit dan getah telah naik jauh lebih tinggi dari tahun-tahun 80-an. Dan peneroka-peneroka yang berjimat dan peneroka-peneroka yang mahu berdikari dan sanggup menanam semula secara bersendirian mendapat pendapatan yang jauh lebih tinggi daripada peneroka-peneroka yang hanya mahu bergoyang kaki dan menyerahkan kepada Felda untuk melakukan tanam semula. Peneroka-peneroka yang menanam semula melalui Felda itu dikenakan hutang baru dan hutang itu akan mencengkam mereka untuk sekurang-kurangnya 25 tahun lagi, dan dengan hutang-hutang sara hidup, maka peneroka-peneroka akan terus berhutang hinggalah mereka meninggal dunia dan hutang-hutang mereka akan dibebankan kepada anak cucu mereka.
Di peringkat awal, peneroka-peneroka akan ditetapkan pelbagai hutang termasuklah hutang memajukan tanah-tanah mereka dan hutang-hutang kerana tanah dan rumah yang didirikan diatas tanah kampong seluas setengah ekar itu.
Setelah berpuluh-puluh tahun mereka membayar hutang melalui potongan "paysheet" maka mereka bebas buat sementara dari hutang, dan bagi mereka yang telah berjaya menjelaskan hutang mereka, berjaya mendapatkan sauratan hakmilik tanah mereka dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri.
Kumpulan besar dari peneroka-peneroka itu ingin berdikari, ingin bebas dari cengkaman hutang, ingin menempah kemajuan dan ingin memperolehi pendapatan yang lebih besar.
Bagi kumpulan itu, hajat mereka memang tercapai. Mereka memutuskan untuk menanam semula secara bersendirian, mereka pisahkan diri mereka dengan hutang baru dari Felda, mereka tidak mahu ladang mereka dibiayai oleh Felda Technoplant untuk tanaman semula.
Melalui spesifikasi dan pengalaman mereka sendiri, peneroka-peneroka yang menanam semula secara bersendirian, tidak menebang keseluruhan pohon-pohon sawit mereka, tetapi menebang peringkat demi peringkat. Pada mula mereka menanam semula itu, mereka hanya menebang (membunuh) pohon-pohon tua sebanyak 10% sahaja. Setelah setahun, mereka menebang sehingga 25%, dan apabila pohon-pohon yang ditanam semula itu sudah membesar ke tahun kedua, mereka menebang hinnga 50%, dan dikala itu pohon-pohon itu sudah mula mahu mengeluarkan buah, dan diketika itu akhirnya mereka menebang pohon tua hingga 100%.
Sewaktu pembesaran pohon-pohon yang ditanam, peneroka-peneroka masih boleh mempunyai pendapatan daripada pokok-pokok yang tua yang masih belum ditebang, dan kerana itu mereka tidak perlu mengambil hutang sara hidup dari Felda.
Bagaimanapun, tindakan peneroka-peneroka tersebut tidak diperkenankan oleh Felda. Felda mengenakan berbagai sekatan agar peneroka-peneroka itu tidak menanam sendiri. Felda tidak membenarkan peneroka-peneroka itu membeli anak benih sawit dari Felda dan disamping itu juga Felda tidak membenarkan peneroka-peneroka itu membeli baja dari Felda. Peneroka-peneroka itu dianak-tirikan oleh Felda.
Tetapi apabila peneroka-peneroka itu telah berjaya dan kebun sawit mereka mengeluarkan hasil, mereka tidak dibebankan dengan sebarang hutang. Pendapatan mereka tidak dipotong oleh Felda dan mereka menikmati pendapatan dari kebun mereka 100%, dan apabila dibandingkan pendapatan mereka dengan pendapatan yang diperolehi peneroka-peneroka yang menanam melalui Felda, mereka memperolehi pendapatan hampir sekali ganda lebih tinggi daripada peneroka-peneroka yang menanam semula melalui Felda menyebabkan keadaan yang tidak seimbang dikalangan peneroka-peneroka.
Dengan peneroka-peneroka yang menanam secara bersendirian memperolehi pendapatan jauh lebih tinggi dari peneroka-peneroka yang menanam semula melalui Felda dan dengan peneroka-peneroka itu bebas dari hutang dan hidup berdikari, menyebabkan Felda merasa tertekan dan mengambil tindakan-tindakan yang bertentangan dengan tujuan Felda ditubuhkan.
Mereka tidak mahu peneroka-peneroka hidup berdikari. Felda tidak mahu peneroka-peneroka Felda bebas dari hutang, dan mereka tidak mahu peneroka-peneroka boleh secara bebas menjualkan produk mereka.
Felda mengenakan syarat bahawa semua peneroka Felda menjualkan produk mereka hanya kepada Kilang Felda, dan semua lesen MPOB yang selama ini dikeluarkan kepada individu-individu peneroka atau koperasi-koperasi milik peneroka telah ditarik balik dan MPOB hanya dikhaskan kepada Kilang-Kilang Felda.
Bukan sahaja Felda mewajibkan jualan produk itu melalui Kilang Felda, bahkan disyaratkan secara wajib agar peneroka-peneroka itu mengambil "pay sheet" dari Felda untuk membolehkan pula Felda membuat potongan keatas pendapatan peneroka-peneroka tersebut.
Peringkat awal dahulu, Felda mengenakan potongan hingga 40% daripada pendapatan peneroka setiap kali hantaran produk dihantar kepada Kilang-Kilang Felda. Tetapi apabila protes demi protes dijalankan oleh peneroka-peneroka, Felda menurunkan potongan itu ke peringkat 20% sahaja.
Peneroka-peneroka yang berani mengajukan lapuran polis dan sprm dan mereka mendapati bahawa Felda mengembalikan semula potongan-potongan itu, dan ini menandakan bahawa Felda mengambil tindakan secara menyeleweng dan tidak terikat dengan mana-mana perjanjian diantara Felda dan Peneroka.
Lebih aneh lagi, Felda telah menghantar Notis kepada peneroka-peneroka yang menanam sendiri yang tidak mendapat sebarang bantuan dari Felda untuk mereka membayarkan beberapa jenis item hutang yang kononnya telah tertunggak. Tetapi apabila peneroka-peneroka itu membuat lapuran polis, maka dengan secara segeranya Felda menarik balik Notis-Notis itu.
Lapuran terakhir mengatakan bahawa Felda sudah pun membuat arahan kepada peneroka-peneroka bahawa mereka tidak lagi dibenarkan menanam secara bersendirian dan mereka MESTI melakukan tanam semula melalui Felda.
Tun Razak pasti menangis mengetahui keadaan ini. Tun Razak pasti menangis kerana Felda mahu membebankan peneroka-peneroka Felda dengan hutang sepanjang zaman. Tun Razak pasti menangis kerana Felda tidak mengizinkan peneroka-peneroka hidup berdikari. Dan Tun Razak pasti menangis kerana Felda sudah menjadi badan konglomerat pertanian terbesar di dunia dengan keuntungan tahunan berbilion ringgit sedangkan peneroka-peneroka dibebankan dengan hutang yang tidak ada kesudahannya.
0 Response to Felda - Dulu Tolong Kini Lebih Dasyat Dari Ah Long
Post a Comment