Dr Gigi Tampil Membela Diri - Pakatan Kerisauan


Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo bercadang membuat aduan polis terhadap surat layang yang mengaitkan beliau dengan seorang pegawai tinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

Selain menafikan pembabitannya dengan Timbalan Pengarah SPRM Selangor, Hishamuddin Hashim, beliau juga menyifatkan usaha sedemikian sebagai "membuang masa dan tenaga" serta "kerja bodoh dan tidak cerdik."

Berikut penjelasan Dr Mohamad Khir di blognya hari ini:

Orang lemas mencari tempat berpaut

Saya tidak akan membincangkan apa-apa isu dalam tulisan ini kecuali untuk menafikan tuduhan dan dakwaan kandungan surat layang yang didakwa dibuat oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Surat tersebut yang menjadi isu dalam inkues dan juga telah diterbitkan semula oleh semua laman web khabarnya menyatakan saya terbabit berkomplot dengan SPRM untuk menjatuhkan kerajaan Selangor hari ini.


Saya ingin menyatakan semua tuduhan dalam surat tersebut yang membabitkan saya merupakan satu fitnah dan tohmahan semata-mata.

Kebanyakan siasatan Badan Pencegah Rasuah dan SPRM ke atas saya, termasuk isu banglo di Seksyen 7, dibuat oleh para pegawai daripada ibu pejabat di Putrajaya.

Justeru sangat mengelirukan bagaimana timbalan pengarah SPRM Selangor [Hishamuddin Hashim - editor] dituduh melindungi saya.

Berikut beberapa pandangan saya mengenai surat tersebut:

1. Adalah tidak benar wujud sebarang komplot untuk menjatuhkan kerajaan negeri Selangor hari ini membabitkan saya.

Malahan dakwaan komplot antara saya dengan SPRM ini sungguh melucukan kerana yang membuat laporan-laporan pencegahan rasuah ke atas pemimpin Pakatan ialah ahli parti mereka sendiri dan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang banyak membantu Pakatan semasa sebelum pilihan raya lalu.

2. Saya tidak nampak bagaimana siasatan SPRM ke atas pemimpin Pakatan akan menjatuhkan kerajaan Selangor.

Ini kerana proses siasatan, perbicaraan dan menjatuhkan hukuman termasuk proses rayuan boleh memakan masa sehingga 3-4 tahun.

Dalam tempoh tersebut sudah tiada lagi pilihan raya kecil. Malah mungkin pilihan raya umum telah dilaksanakan.

Justeru jika saya mahu menjatuhkan kerajaan Selangor hari ini, cara ini bukan sahaja tidak bijak, malah hanya membuang masa dan tenaga.

Jika benar ada rancangan menjatuhkan kerajaan Selangor dengan cara ini saya anggap ia kerja bodoh dan tidak cerdik.

3. Tiada gunanya saya merencanakan kejatuhan kerajaan Pakatan Selangor hari ini kerana mereka sendiri tidak lebih the shinking ship [kapal yang bakal tenggelam - editor].

Bagi saya lebih baik kerajaan ini terus memerintah sehingga pilihan raya akan datang agar rakyat dapat menilai baik buruknya BN dahulu dengan Pakatan hari ini.

4. Surat layang seperti ini bukanlah aneh dalam cara hidup Pakatan Rakyat. Jika kita masih ingat pada 1998 dan 1999 banyak surat-surat menggunakan kepala surat Jabatan Perdana Menteri disebarkan di dalam web mahazalim untuk memburukkan kerajaan ketika itu.

Sepuluh tahun selepasnya, modus operandi masih sama rupanya.

5. Bagi saya ini merupakan taktik-taktik orang yang kelemasan dan sedang dihanyutkan arus deras mencari tempat berpaut menyelamatkan diri.

Kerana saya dilihat terkehadapan dalam memantau dan menegur perjalanan kerajaan negeri maka saya dijadikan sasaran mereka.

6. Saya berharap tindakan tegas dapat diambil oleh pihak berkuasa mengenai surat layang ini.

Insya Allah saya juga akan membuat laporan polis dalam sedikit masa lagi sama ada selepas saya pulang dari umrah atau meminta pegawai saya membuatnya dalam minggu ini.

Salam dari Mekah....

0 Response to Dr Gigi Tampil Membela Diri - Pakatan Kerisauan

Post a Comment