"Tak Untung Kerajaan sekat Blog" - Penulis


Rancangan kerajaan menyekat capaian ke laman web yang melanggar peraturan disifatkan "tindakan tidak menguntungkan", demikian menurut beberapa orang penulis blog terkemuka.

Selain melibatkan kos tinggi, langkah berkenaan - yang dibincangkan dalam satu mesyuarat khas antara beberapa kementerian kelmarin - juga tidak berkesan kerana pengguna mempunyai kaedah alternatif untuk mencapai laman-laman yang disekat.

Tindakan ini juga dilihat sebagai satu usaha kerajaan untuk mencari alasan bagi mengawal ruang kebebasan bersuara melalui media dalam talian.

Kerajaan seharusnya memberi kebebasan kepada pengguna Internet untuk menilai sendiri kandungan yang diterbitkan melalui media Internet dan bukannya mengenakan lebih banyak kawalan, kata Ahirudin Attan.

"Ini bukan sesuatu yang kerajaan patut tentukan. Biarlah rakyat sendiri menilai kandungan ini bagi kepentingan mereka sendiri.

"Sekiranya sesuatu maklumat yang dilaporkan itu tidak benar atau satu penipuan, laman itu juga yang akan hilang kredibiliti," kata pengendali Rocky's Bru.

Beliau, seorang wartawan kanan, bagaimanapun tidak menolak andaian bahawa kerajaan mampu untuk membuat sekatan-sekatan seperti itu.

"Mereka memang mampu buat. Mereka boleh meminta penyedia telekomunikasi untuk menghalang laman-laman tertentu (daripada diakses). Ini pernah berlaku," katanya lagi.

0 Response to "Tak Untung Kerajaan sekat Blog" - Penulis

Post a Comment