Peniaga Melayu Kian Pupus, Mana Hilangnya sang Pembela Anak Melayu ??


PETALING JAYA 12 Ogos - Kedai- kedai perniagaan runcit milik peniaga Melayu diancam kepupusan sekiranya tiada usaha dilakukan untuk menyelamatkan mereka.

Tinjauan yang dilakukan mendapati kira-kira 12,000 peniaga Melayu kini dalam keadaan 'nyawa-nyawa ikan' untuk meneruskan perniagaan tersebut, kata Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Syed Ali Alattas.

Malah, tambah beliau, dianggarkan kira-kira 480 buah kedai runcit milik golongan berkenaan kini dalam proses dilelong.

Syed Ali berkata, peniaga runcit khususnya golongan Melayu tidak mampu lagi meneruskan kelangsungan operasinya setelah lebih 40 peratus jualan dalam pasaran dikuasai oleh pasar-pasar raya besar.

''Keadaan ini mungkin tidak berlaku sekiranya kerajaan mengawal penubuhan pasar-pasar raya besar di negara ini khususnya di bandar-bandar.

''Sekarang, yang menanggung akibatnya adalah peniaga kecil Melayu yang hanya mampu meraih pendapatan tidak lebih RM3,000 hingga RM5,000 sebulan.

''Sedangkan, pasar-pasar raya besar mampu meraih jualan sebanyak RM1 juta sehari,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Lebih menyedihkan apabila kebanyakan peniaga runcit itu terpaksa bergantung kepada pasar-pasar raya berkenaan untuk mendapatkan bekalan barang kerana harga yang ditawarkan jauh lebih murah berbanding kedai borong.

''Kita ambil contoh, kalau peniaga membeli barang A dengan harga RM1 di pasar raya, sudah tentu dia akan menjual semula pada harga RM1.10.

''Jadi, macam mana peniaga hendak menjual barangan mereka kalau harga di pasar raya jauh lebih murah daripada kedai runcit?,'' tambah beliau.

Syed Ali berkata, disebabkan masalah ini, perniagaan tersebut bukan lagi menjadi gelanggang perniagaan di kalangan kaum Cina, yang kini beralih kepada pasar-pasar mini.

Beliau berkata, dalam usaha menangani permasalahan itu DPMM telahpun mengusulkan cadangan dalam bentuk kertas kerja kepada kerajaan.

Katanya, kertas cadangan itu telah diserahkan kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Unit Perancang Ekonomi), Tan Sri Nor Mohamed Yakcop empat bulan lalu.

Antara cadangan DPMM termasuk mahukan kerajaan memberi inovasi dan kreativiti baru kepada perniagaan tersebut dengan mengambil kira teras model ekonomi baru yang memberi fokus meningkatkan pendapatan peniaga-peniaga kecil.

Ini termasuk mewujudkan pusat borong bersepadu, gudang dan sistem pengurusan inventori untuk golongan berkenaan.

''Kita masih menunggu jawapan daripadanya. Jika langkah ini tidak dilaksanakan, peniaga runcit akan lenyap,'' ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau menaruh harapan agar kerajaan menghalusi cadangan itu bagi menyegerakan usaha membantu masalah perniagaan runcit Melayu yang semakin tenat.

Presiden DPMM itu juga melahirkan rasa kecewa kerana para pelabur asing diberi hak untuk memonopoli perniagaan peruncitan di negara ini dalam segala aspek.

Beliau mempersoalkan kewajaran pemilik-pemilik pasar-pasar raya besar di negara ini yang dibenarkan menyewa premis dan kiosk di dalam pasar raya pada kadar yang tinggi kepada peniaga tempatan.

Syed Ali berkata, di luar negara pun, pasar-pasar raya tidak dibenarkan beroperasi di bandar besar tetapi di Malaysia hampir setiap bandar dan pekan ada pasar raya.

0 Response to Peniaga Melayu Kian Pupus, Mana Hilangnya sang Pembela Anak Melayu ??

Post a Comment