1Malaysia berjaya Menaikan Kedudukan Rasuah Malaysia di Mata Dunia


Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang telah diiktiraf kerana usahanya memerangi rasuah oleh Transparency International (TI), namun 1Malaysia terus jatuh dan tewas dalam Indeks Persepsi Rasuah apabila berada pada kedudukan ke-47 pada tahun 2008 berbanding tangga ke 43 pada tahun 2007. Inilah kemenangan besar slogan 1Malaysia, 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Di utamakan'. Kedudukan 1Malaysia lebih busuk dari 1Israel yang dilabel sebagai negara pengganas dan negara yang dianggap kurang membangun seperti Botswana dan Bhutan. Israel berada pada kedudukan ke-33, Botswana ke-36 manakala Bhutan berada pada kedudukan ke-45.



1MALAYSIA ?
Paling naif ialah apabila indeks yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI) itu menunjukkan negara-negara umat Islam tidak mengamalkan ajaran Islam yang memerangi rasuah. Negara-negara seperti Somalia, Iraq, Afghanistan dan Sudan berada di tangga tercorot. Somalia berada di kedudukan ke-180, Iraq ke-178, Afghanistan ke-176 dan Sudan ke-173. Negara yang berada di tempat teratas ialah Denmark diikuti oleh New Zealand, Sweden dan Singapura. Sepatutnya pemimpin korupsi UMNO BN belajar dengan jiran terdekat Singapura bagaimana untuk memerangi rasuah.

Di Malaysia, negara di anggarkan menanggung kerugian sebanyak RM10 bilion setahun akibat rasuah iaitu jumlah yang mencukupi untuk membina lebih dari 150,000 kos rendah. Ini sekiranya diambilkira permohonan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) kepada kerajaan untuk menaikkan harga rumah kos rendah kepada RM60,000. Dalam laporannya, Transparency International (TI) membangkitkan amalan keluar masuk yang berterusan di antara bidang politik dan perniagaan di mana pihak tertentu bertukar-tukar tempat dari kedudukan sebagai ahli politik kepada ahli perniagaan atau dari ahli perniagaan kepada ahli politik dan terus keluar masuk di antara kedua-dua bidang itu.Keadaan itu, menurut TI, mengakibatkan pengaruh yang negatif kepada konsep semak dan imbang. Inilah yang berlaku sebenarnya dalam kepimpinan korupsi UMNO BN, merekalah ahli politik dan dalam masa yang sama menceburi bidang perniagaan dengan menyalagunakan kuasa yang mereka ada.

Laporan tersebut juga menyatakan bahawa hubungan serba kompleks antara politik, sektor awam dan sektor swasta itu mungkin mengakibatkan rasuah berlaku dengan bebas tanpa sebarang hukuman. Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Paul Low berkata, usaha mencegah rasuah di negara ini tidak ubah seperti melepas batuk di tangga sahaja jika tidak dilaksanakan tindakan drastik untuk memisahkan hubungan selesa antara kerajaan, perniagaan dan politik. Low juga berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula tidak memperlihatkan hasil yang diinginkan dan orang ramai menganggap suruhanjaya itu mengamalkan penyiasatan dan pendakwaan secara berpilih-pilih.

Satu-satunya sisi yang positif dari laporan tersebut mengenai Malaysia ialah pengiktirafan yang diberikan kepada kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang dalam memerangi rasuah. Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyatakan pihaknya menerima pujian itu dengan rendah hati. Beliau juga mengumumkan bahawa Pulau Pinang berjaya mengurangkan RM36 juta atau 12 peratus perbelanjaan operasi hasil usaha memerangi rasuah itu. Sekali lagi, syabas buat kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang dalam usaha bersungguh-sungguh mereka untuk memerangi rasuah. Satu hari nanti mungkin kerajaan Pulau Pinang boleh menganjurkan kursus memerangi rasuah kepada para pemimpin korupsi UMNO BN pula.

0 Response to 1Malaysia berjaya Menaikan Kedudukan Rasuah Malaysia di Mata Dunia

Post a Comment