Akhirnya Mariam Johari pulang ke Tanahair untuk Bersemadi


Akhirnya keranda Mariam Johari, 88, diangkat pekerja terminal kargo Lapangan Terbang Incheon, Seoul untuk dibawa masuk ke pesawat Thai Airways malam tadi dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur jam 12.10 tengah hari ini.

Jenazah Mariam akan dituntut anak lelakinya, Jelani Sonni, 72, dibawa terus ke Kota Tinggi untuk pengebumian dengan bantuan Majlis Agama Islam Johor serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Mariam meninggal dunia pada 6 September lalu di rumah orang tua di Seoul, selepas 64 tahun terkandas di Korea Selatan. Bagi kesemua ahli keluarga Mariam, tiada yang lebih indah dan bererti dalam hidup mereka selain hajat untuk menerima dan mengebumikan jenazah ibu tercinta mengikut adat dan ajaran islam menjadi kenyataan. Biarpun pelbagai tohmahan dan pahit getir yang mereka lalui selama ini, namun kita percaya bahawa kekuatan Doa hambanya mampu mengatasi segala-galanya.



Di Johor Bahru pula, mendapat liputan yang agak luar biasa termasiuk lah oleh mantan Mufti Besar Johor iaitu Datuk Nooh Gadut. Katanya lagi, Kisah hidup wanita kelahiran Johor yang terkandas selama 64 tahun di Korea Selatan, Mariam Johari, 88, dan meninggal dunia di sana wajar dijadikan pengajaran dan iktibar kepada semua pihak.

Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadut berkata, umat Islam khususnya generasi muda sepatutnya meletakkan akidah dan agama melebihi segala-gala daripada cinta dan kasih sesama manusia.

Beliau berkata, ini kerana sayang kepada agama kekal di dunia dan akhirat manakala cinta kepada manusia hanya bertahan sementara waktu sahaja.

”Anak-anak muda jangan mengikut perasaan untuk melarikan diri dari rumah dan berhijrah ke luar negara walaupun tindakan itu mempunyai sebab.

”Sebelum membuat apa keputusan, ibarat pepatah Melayu, tepuk dada tanya iman dan bukannya tepuk dada tanya selera,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar hari ini mengenai kematian Mariam atau nama Koreanya, Kim Soon Ae yang meninggal dunia ketika tidur pada Sabtu lalu selepas kira-kira empat bulan tidak sihat.

Anaknya, Jelani Sonni, 72, mendakwa ibunya itu telah membuat wasiat sebelum menyambut Ramadan agar dikebumi secara Kristian.

Mariam yang dilahirkan di Plentong pada 16 Mac 1921 berkahwin dengan seorang jirannya ketika berusia 11 tahun pada 1932 dan melahirkan empat anak, namun anak keempatnya meninggal dunia beberapa bulan selepas dilahirkan.

Ketika Perang Dunia Kedua, suami Mariam menyertai tentera manakala Mariam dikerah menjadi buruh membina landasan kapal terbang di Senai pada 1943.

Mariam kemudian berkenalan dengan tentera kerahan Jepun dari Korea, Cho Se Won yang membawanya ke Korea Selatan dan terkandas di negara itu.

Kisah Mariam mula mendapat perhatian apabila dia meluahkan hasratnya untuk mencari tiga anaknya di Plentong, Johor pada 23 Jun 2007.

Hasratnya bertemu semula tiga anaknya itu, Ramlah Sonni, 74, Jelani dan Jamnah, 67, akhirnya termakbul apabila Korea Broadcasting System (KBS) membawa Ramlah dan Jelani serta cucunya, Ahmad Onn, 43 dan menantu, Siti Zainab Noor, 37, ke studio KBS di Seoul pada 18 Julai 2007.

Pertemuan kali pertama selama enam hari tidak berakhir di situ apabila Mariam pula dibawa ke Malaysia pada 5 September sebelum pulang semula ke Korea Selatan pada 13 September 2007.

Mengulas lanjut, Nooh berkata, golongan wanita dan gadis remaja tidak harus cepat termakan pujuk individu lain terutamanya yang bukan seagama kerana kebiasaannya terdapat ‘udang di sebalik batu’.

Beliau berkata, sekiranya terdapat hasrat untuk berhijrah ke negara lain, golongan itu sepatutnya memastikan negara tersebut memiliki persamaan daripada segi agama, budaya dan makanan dengan Malaysia.

”Bagi keluarga yang ditakdirkan kehilangan anak, isteri atau suami, saya menasihatkan mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk mengesan ahli keluarga walau di mana mereka berada.

”Jangan sesekali mereka berputus asa dan jika terdapat kesilapan daripada pihak keluarga, perkara itu patut diperbetulkan dengan segera dan jangan lupa merujuk kepada Allah SWT dan melakukan solat hajat setiap malam,” katanya.

Nooh turut mencadangkan agar kerajaan mewujudkan satu saluran khas bagi rujukan kes yang dihadapi oleh keluarga yang kehilangan anak gadis terutamanya ke luar negara. - Al-fatihah

0 Response to Akhirnya Mariam Johari pulang ke Tanahair untuk Bersemadi

Post a Comment