Johor pelawa Dr Asri berceramah di seluruh negeri tanpa perlu kelulusan MAIJ


JOHOR BAHARU: Bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin boleh mengadakan ceramah agama pada bila-bila masa dan di mana sahaja di negeri Johor, kata Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman.

Katanya peraturan pihak berkuasa agama negeri Johor tidak memerlukan seseorang pendakwah mendapatkan sebarang surat tauliah khas untuk mengadakan ceramah agama tetapi perlu merupakan seorang penceramah agama yang diiktiraf.

Abdul Ghani berkata setiap personaliti agama dipelawa termasuk Mohd Asri untuk menganjurkan ceramah di Johor.

"Bagaimanapun jika mereka mahu menganjurkan ceramah awam yang menghimpunkan ramai orang, maka mereka memerlukan permit polis," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis tilawah khatam AlQuran yang dihoskan oleh UEM Land Bhd di sini hari ini.

Ahad lalu, Mohd Asri ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIs) kerana mengadakan menyampaikan kuliah agama tanpa tauliah di sebuah rumah di Taman Sri Ukay, Hulu Kelang, Selangor.

Abdul Ghani berkata Johor masih belum melarang mana-mana penceramah agama mengadakan ceramah di negeri itu.

Sementara itu, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) bersama Yayasan Islam Terengganu (TIF) dan jabatan pembangunan masyarakat negeri akan melaksanakan Program Pintar Al-Quran di semua tadika Kemas di negeri itu.

Abdul Ghani berkata projek tersebut adalah bertujuan melahirkan ramai kanak-kanak yang mahir dalam tilawah AlQuran dengan lima tadika Kemas di Gelang Patah dipilih sebagai kumpulan perintis program tersebut.Program tersebut akan diadakan di tadika Kemas selama sejam setiap hari dengan modul dirangka oleh TIF

0 Response to Johor pelawa Dr Asri berceramah di seluruh negeri tanpa perlu kelulusan MAIJ

Post a Comment